Senat adalah menjadi badan akademik bagi Universiti dan, tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Universiti, statut, kaedah-kaedah dan peraturan peraturan, berhak mengawal dan memberikan arahan secara am mengenai pengajaran, penyelidikan dan peperiksaan, dan pengurniaan ijazah, diploma, sijil dan kepujian akademik yang lain.
Senat hendaklah terdiri daripada-
(a) Naib Canselor, yang hendaklah menjadi Pengerusi;
(b) semua Timbalan Naib Canselor;
(c) semua Dekan Fakulti dan semua Ketua Kampus Cawangan, Sekolah, Pusat, Akademi dan Institut Universiti
(d) tidak lebih daripada dua puluh orang profesor sepenuh masa yang dipilih bagi tempoh tiga tahun oleh semua profesor dan profesor madya sepenuh masa Universiti; dan
(e) tidak lebih daripada lima orang daripada Universiti yang hendaklah diko-opt oleh Naib Canselor selama tiga tahun.
Tatacara pemilihan dan jumlah keahlian hendaklah ditentukan oleh Senat. Pendaftar atau wakilnya hendaklah menjadi Setiausaha Senat. Pendaftar, Bursar, Ketua Pustakawan dan Penasihat Undang-Undang hendaklah menjadi ahli ex-officio tetapi tidak berhak untuk mengundi dalam mesyuarat Senat.